RUKUN IMAN: PERCAYAKAN KITAB
Kitab Risalah Tauhid
Pindaan Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusuf
6 November 1952
Suntingan jawi ke roman oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik
Adalah maksud dengan kitab di sini ialah hukum-hukum ajaran-ajaran, nasihat-nasihat, kisah-kisah dan lain-lain yang mengandungi berbagai-bagai hikmat yang diturunkan oleh Allah swt kepada rasul-rasul-Nya kemudian kitab-kitab itu ada yang kecil sebagai pekeliling-pekeliling jika satu di namakan ‘Shokhifah’ dan jika banyak disebut ‘suhuf’.
Setengah qaul ulama mengatakan ada 100 suhuf manakala setengah yang lain mengatakan 110 suhuf iaitu:
10 diturunkan kepada Saidina Adam alaihissalam.
50 diturunkan kepada Saidina Sith alaihissalam.
10 diturunkan kepada Saidina Ibrahim alaihissalam.
30 diturunkan kepada Saidina Idris alaihissalam.
10 diturunkan kepada Saidina Musa alaihissalam.
Disisi qaul yang muktamad tiada diketahui berapa banyak bilangannya, andaikata wajib atas tiap-tiap mukalaf percayakan ada banyak suhuf yang diturunkan oleh Allah swt kepada nabi-nabi dan rasul-rasul-Nya dengan jalan Ijmal (secara rangkum) termasuklah 110 yang disebutkan itu.
Adapun kitab yang besar kekal disebut kitab juga. Maka wajib atas tiap-tiap mukalaf mengetahui dan percayakan dengan Tafsil (satu persatu) yaitu 4 kitab:
1. Taurat diturunkan kepada Saidina Musa alaihissalam dengan Bahasa Qibti.
2. Zabur diturunkan kepada Saidina Daud Alaihissalam dengan Bahasa Ibrani.
3. Injil diturunkan kepada Saidina Isa Alaihissalam dengan Bahsa Siryani.
4. Quran diturunkan kepada Saidina Muhammad SAW dengan Bahasa Arab.
(I) Kitab Zabur sekalipun besar tetapi tiada mengandungi hukum-hukum hanya perkhabaran, citra-citra doa zikir dan hikmat-hikmat jua dari itu Nabi Daud tiada mempunyai syariat maka ia dan umatnya mengikut syariat Nabi Musa.
(II) Segala kitab-kitab yang terdahulu itu semuanya telah dimansuhkan dengan Quran.
(III) Kitab-kitab itu Kalam Allah yang tiada berhuruf dan bersuara diturunkan dari Luh Mahfuz kepada suatu tempat yang bernama Baitul Izzah. Kemudian dari situ di bawa Jibril sedikit demi sedikit kepada nabi-nabi dan rasul-rasul menurut keadaan masa.
(IV) Taurat itu satu kitab Allah taala yang ia turunkan kepada Nabi Musa untuk menyatakan hukum-hukum syarak dan iktiqad yang sohih didalamnya ada memberitahu seorang nabi akan zahir daripada keturunan Ismail (iaitu Nabi Muhammad saw) dan dalamnya ada memberi isyarat bahawa nabi kita itu akan datang membawa syariat baharu.
(V) Bahawasa Taurat yang ada sekarang ini telah dipinda dan diubah-ubah setengah daripada tanda yang menunjukkan berubahnya didalam kitab-kitab Taurat yang ada sekarang ini tidak ada sebut Syurga, Neraka dan Hari Kiamat.
(IV) Bahawa Injil itu mengandungi segala hakikat-hakikat menyeru kepada meng-Esa-kan tuhan. Dan ia memansuhkan setengah hukum yang ada didalam Taurat sekira-kira hal yang patut diubah dan didalamnya ada memberitakan seorang nabi yang akhir akan zahir.
(VII) Injil yang dibaca orang sekarang ini ada empat macam naskhah yangdikarang oleh empat orang maka pengarang-pengarang itu tiada melihat akan Nabi Isa samasekali nama-namanya ialah: Mata, Marqus, Luqa, Yuhana dan diantara empat karangan ini bersalahan-salahan pula diantara satu dengan lain.
(VIII) Wajib kita beriktiqad dan percaya bahawa sesungguhnya Quran itu semulia-mulia kitab Allah Taala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw ialah Kitab Allah yang akhir diturunkan dan ia memansuhkan segala kitab-kitab yang dahulu daripadanya, dan Quran itu kekal hingga hari kiamat tiada berubah-rubah dan bertukar-tukar dan ialah sebesar-besar alamat atau tanda atas kenabian Nabi Muhammad saw. Kerana ia sebesar-besar mukjizat bagi Nabi Muhammad saw dan ia seluas-luas kitab mengandungi Ilmu Pengetahuan. Sebanyak-banyak manfaat setinggi-tinggi kemuliaan dan mengandungi didalamnya ajaran, tauladan-tauladan, hukum-hukum, tegah-tegah, perintah-perintah, janji balas baik dan janji balas siksa dan sebagainya.