Percayakan Malaikat

RUKUN IMAN: PERCAYAKAN MALAIKAT

Kitab Risalah Tauhid
Pindaan Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusuf
6 November 1952

Suntingan jawi ke roman oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik

Sesungguhnya hendaklah kamu percaya dan beriktiqad adalah malaikat itu satu daripada makhluk Allah swt. Dijadikan daripada cahaya. Mereka itu tiada makan , tiada minum, bukan laki-laki dan bukan perempuan, tiada ibu dan tiada bapa, mereka itulah hamba-hamba Allah yang mulia tiada sekali-kali menderhaka kepada tuhan. Bahkan ia sentiasa mengerjakan apa-apa yang diperintahkan kepadanya. Bagaimana firman tuhan di dalam A-quran surah At-Tahrim ayat 6 artinya Malaikat itu tidak menderhakai Allah Taala pada apa-apa yang diperintahkan keatas mereka itu.

Setengah-setengah malaikat itu ada yang rukuk sahaja, ada yang sujud sahaja, ada yang bertasbih sahaja dan ada yang membuat berbagai-bagai kerja yang ditentukan tuhan keatasnya. Maka bilangan mereka itu tidak dapat diketahui hanya wajib kita beriktiqad ada bagi tuhan beberapa banyak malaikat yang tiada dapat diketahui bilangannya tetapi wajib atas tiap-tiap mukalaf mengetahui dengan jalan Tafsil sebanyak 10 malaikat:

1. JIBRAIL – kerjanya membawa wahyu daripada tuhan kepada rasul dan menurunkan musibah keatas mereka yang membuat maksiat.
2. MIKAIL – kerjanya menurunkan rezqi kedunia dengan perintah tuhan.
3. ISRAFIL – kerjanya meniup sangkakala dengan 2 kali tiup, (sekali kerana mematikan tiap-tiap yang bernyawa dan sekali lagi kerana menghidupkan semula).
4. IZRAIL -kerjanya mengambil nyawa.
5. MALIK – kerjanya menunggu pintu neraka.
6. RIDHUWAN – kerjanya menunggu pintu syurga.
7. RAQIB – kerjanya menulis kebajikan.
8. ATID – kerjanya menulis kejahatan.
9. MUNKAR – kerjanya menyoal mereka yang mati.
10. NAKIR – kerjanya menyoal mereka yang mati.

MANUSIA BOLEH NAMPAK MALAIKAT

Kiranya keadaan malaikat itu berupa seperti asalnya nescaya manusia tidak boleh nampak melainkan anbia’ jua kerana jisim malaikat terlalu halus, sama juga seperti manusia tidak boleh nampak angin pada hal angin itu ada penuh di dalam dunia, ialah kerana keadaan halusnya.

Tetapi jika malaikat itu telah berupa dengan rupa jisim yang kasar seperti berupa manusia, maka pada ketika itu dapatlah manusia melihat akan dia.

Adapun nabi-nabi dan rasul-rasul dapat melihat malaikat atas rupanya yang asal kerana nabi-nabi dan rasul-rasul ada satu kelebihan yang dianugerahkan oleh Allah Taala kepada mereka itu supaya dapat mempelajari pelajaran agama dan hukum-hukum syarak daripadanya.

CARA-CARA MENGENAL MALAIKAT YANG BERUPA MANUSIA

Maka sebahagian daripada mereka-mereka yang melihat malaikat yang bukan rupa asalnya bahkan atas rupa manusia ialah sahabat rasul Allah ketika malaikat turun kepada nabi Muhammad saw dan bercakap-cakap dengan nabi sebagaimana nabi bercakap dengan sahabat-sahabatnya ia merupakan dirinya seperti seorang sahabat nabi yang bernama (Dihyatul Kalbi) dan ada kala ia berupa seorang yang segak dengan pakaian putih lagi bersih.

Maka pada mula-mulanya seorang pun tidak mengetahui ia malaikat hanya disangkakan ia itu seorang daripada sahabat rasul Allah atau seorang yang baharu datang kepada rasul Allah jua tetapi kemudian daripada ia telah meninggalkan nabi maka rasul allah pun mengkhabarkan dan menerangkan yang datang itu malaikat Jibrail.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: