Ilmu Tauhid Bahagian 3

BAHAGIAN HUKUM, WAJIB, MUSTAHIL, HARUS DAN TANDA-TANDA AKAL

Kitab Risalah Tauhid
Pindaan Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusuf
6 November 1952

Suntingan jawi ke roman oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik

BAHAGIAN HUKUM AKAL

Adalah hukum akal itu terbahagi kepada tiga bahagi. Kerana adalah akal itu berkehendak bekerja atas sekira-kira hal pada mematutkan sesuatu bagi di hukumkan pada ilmu tauhid, tiada sunyi daripada tiga perkara iaitu menghukumkan mesti ada atau menghukumkan mesti tiada, atau menghukumkan boleh menerima ada atau tiada.

Yang pertama:
Disebut ‘Wajib Aqli’, iaitu perkara yang tiada di terima akal akan tiadanya, hakikatnya mesti menerima ada, yang demikian apakala di katakan wajib bagi Allah bersifat Qidam maka maksudnya ialah mesti ada tuhan bersifat Qidam.

Yang Kedua:
Disebut ‘Mustahil Aqli’, iaitu perkara yang tiada di terima akal akan adanya. Hakikatnya mesti tiada, yang demikian apakala di katakan mustahil tuhan baharu maka maksudnya tiada sekali-kali tuhan itu baharu.

Yang Ketiga:
Disebut ‘Harus Aqli’, iaitu perkara yang diterima akal adanya dan tiadanya dengan jalan berganti-ganti, maka hakikatnya boleh menerima ada dan tiada, seperti keadaan seseorang itu ada kalanya boleh ia bergerak atau diam.

BAHAGIAN WAJIB AQLI

Adalah wajib aqli terbahagi dua:

1. Wajib Aqli Dhoruri (senang mudah) iaitu menghukumkan sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasnya dan mendirikan kenyataan-kenyataan seperti menghukumkan satu itu tetap separuh daripada dua.

2. Wajib Aqli Nazhori (iaitu menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasnya serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya itu seperti menghukumkan wajib wujud tuhan yang menjadikan alam ini, maka tidak dengan senang menghukumkan wajib wujud tuhan itu melainkan dengan di adakan bahasnya dengan mendirikan dalil.

BAHAGIAN MUSTAHIL AQLI

Adalah mustahil aqli terbahagi dua:

1. Mustahil Aqli Dhoruri iaitu menghukumkan suatu itu ‘tetap tiada’ dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil, seperti menghukumkan tiada terima akal satu itu separuh daripada tiga.

2. Mustahil Aqli Nazhori iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumannya itu seperti menghukumkan tiada terima akal ada yang menyekutu bagi Allah Taala maka tidak dengan senang akal menghukumkan mustahil ada Syarik (yang menyekutu) bagi Allah Taala itu melainkan dengan di adakan bahasan dengan mendirikan dalil.

BAHASAN HARUS AQLI

Adalah Harus Aqli itu terbahagi dua:

1. Harus Aqli Dhoruri iaitu menghukumkan sesuatu boleh terima ada dan tiada secara jalan berganti-ganti, dengan tidak berkehendakkan bahasan dan mendirikan dalil seperti menghukumkan keadaan seseorang itu ada kalanya ia bergerak atau diam.

2. Harus Aqli Nazhori iaitu menghukumkan sesuatu boleh di jadikan atau tiada boleh, dengan berkehendak kepada kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti memberi tuhan orang islam yang tiada beramal itu pahala. Maka tidak dengan senang akal menghukumkan hal itu harus melainkan dengan di adakan bahasan dan dalil-dalil yang menunjukkan harus pada tuhan memperlakukan seperti itu.

TANDA-TANDA YANG MENUNJUKKAN HUKUM AKAL

Andaikata apabila kita dapati kemudian daripada ‘wajib’ perkataan ‘bagi’ atau ‘pada’ maksudnya wajib aqli.
Apabila kita dapati kemudian daripada ‘mustahil’ perkataan ‘atas’ atau ‘pada’ maksudnya mustahil aqli dan
Apabila kita dapati kemudian daripada ‘wajib’ perkataan ‘atas’ maksudnya wajib syar’ie (barang yang di perbuat dapat pahala dan di tinggalkan dapat dosa).

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: