Ar-Rahnu -Gadaian emas

DEFINISI, PENGERTIAN , HUKUM DAN RUKUN AR-RAHNU

Definisi dari sudut syarak:

Ar-Rahnu dari sudut syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.

Definisi dari sudut bahasa:

Ar-Rahnu dari sudut bahasa bermakna mantap dan berkekalan.
Misalnya, keadaan yang mantap ataupun ia bermakna tahanan,

seperti firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya………….”
(Surah al-Muddaththir 74:38)

PENGERTIAN , HUKUM DAN RUKUN AR-RAHNU

PENGERTIAN

Ahmad Azhar Basyir – mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai “menjadikan suatu benda yang bernilai menurut pandangan syara” sebagai tanggungan hutang dengan adanya benda yang menjadi tanggungan itu seluruh atau sebahagian hutang dapat diterima”

H.M Arsjad Thalib Lubis – mentakrifkan Ar-Rahnu sebagai “menjadi suatu barang yang berupa harta dan ada harganya jadi jaminan hutang dan ia akan dijadikan pembayarannya jika hutang itu tidak dapat dibayar”

Abdul Rahman Al-Jaziri – menerangkan bahawa Ar-Rahnu menurut syara’ bererti ” menjadikan barang yang ada harganya menurut pandangan syara’ sebagai jaminan kepercayaan hutang piutang. Dalam erti seluruh hutang atau sebahagiannya dapat diambil, sebab sudah ada barang jaminan tersebut.

Kesimpulannya:
Ar-Rahnu boleh ditakrifkan sebagai keadaan di mana penghutang atau penerima pinjaman menyandarkan barangan kepunyaan sebagai jaminan kepada hutang atau pinjaman yang diterima daripada pemiutang atau pemberi pinjaman

HUKUM

Firman Allah SWT – “Dan jika kamu sedang dalam perjalanan (lalu kamu berhutang) dan tiada memperolehi penulis, maka boleh diserahkan sahaja jaminan yang dapat dipegang (Al-Baqarah : ayat 283)

Dalam sebuah Hadis – “Bahawasanya Nabi saw menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah Hadis – “Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi s.a.w pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang dihutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w menyerahkan baju besinya” (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam sebuah Hadis – “Dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang bermaksud ketika Nabi s.a.w. wafat, baju besinya masih dalam keadaan menjadi tanggungan hutang 20 sha’ (+ 50 kg) bahan makanan yang dibelinya untuk nafkah keluarganya” (Riwayat Tirmidzi)

RUKUN

Hukum Ar-Rahnu mengandungi 5 perkara:

1. Penggadai atau orang yang menggadai; iaitu orang yang berhutang
2. Penerima gadaian atau pemegang gadai; iaitu pihak yang memberi pinjaman
3. barang gadaian; iaitu barang yang berharga yang dipunyai dan dalam kawalan penerima pinjaman
4. Tanggungan gadaian; iaitu jumlah yang berhutang
5. Sighah atau perjanjian; iaitu perjanjian berkaitan pinjaman/ hutang dan gadaian

KELEBIHAN AR-RAHNU

Antara kelebihan Ar-Rahnu berbanding Pajak Gadai Konvensional ialah:

1. Tidak Mengenakan Kadar Faedah (Unsur Riba)

Perbezaan utama antara Ar-Rahn dan Pajak Gadai Konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahn, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah (interest) iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam, berbanding Pajak Gadai Konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya diharamkan oleh Islam.

2. Nilai Gadaian Tidak Merosot

Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak merosot dan tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.

3. Wang Lebih Gadaian Dipulangkan

Sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggungnya apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan. Ini berlaku kerana nilai pinjaman adalah jauh lebih rendah dari nilai barang gadaian.

4. Barang Kemas Yang Disimpan Selamat

Semua barang kemas yang disimpan dalam skim tersebut adalah selamat. Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian.

5. Caj perkhidmatan Yang Rendah

Ar-Rahn menawarkan caj perkhidmatan yang rendah. Semua pengurusan di Ar-Rahn melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvisional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang atau tauke Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.

6. Tiada Unsur Penipuan Semasa Membuat Timbangan

Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.

7. Tempoh Membayar Balik Yang Munasabah

Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannnya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka.

8. Pemberian Notis Kepada Penggadai Tentang Upacara Lelongan

Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.

9. Memberi Nilai Gadaian Yang Sepatutnya

Perkara ini sering berlaku dalam Pajak Gadai Konvensional. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai.

Ar-Rahnu menggabungkan dua konsep syariah yang utama iaitu Ar-Rahnu dan Al-Wadiah Yad Dhamanah:

• Ar-Rahnu :
merujuk kepada mekanisme di mana suatu barang berharga dijadikan sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.

• Al-Wadiah Yad Dhamanah :
merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.

PAJAK GADAI-i AR-RAHNU BANK RAKYAT
Skim ini menyediakan sumber kewangan segera
untuk membantu individu-individu menangani kehendak aliran tunai.

Konsep
Al-Wadiah and Qardhul Hassan

Kelayakan
• Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas
• Tidak Bankrup

Jumlah Pembiayaan
• Pembiayaan sehingga 70% nilai emas
• Maksimum RM10,000.00 sehari sehingga jumlah gadaian terkumpul RM50,000.00

Tempoh Bayaran Balik
• Maksimum 6 bulan

Gadaian Diterima
*Hanya gadaian emas yang memenuhi syarat ketulenan tertentu (18K – 24K).
*Emas Syiling, Emas Jongkong dan Emas wafer tidak di terima buat masa ini -tertakluk pada perubahan.

CARA MELAKUKAN AR-RAHNU DI BANK RAKYAT

1-Anda Bawa kad pengenalan dan emas yang ingin di gadai ke Bank Rakyat,
2-Anda ambil nombor giliran untuk Ar-Rahnu di Bank dan tunggu sehingga nombor anda di panggil.
3-Serahkan emas anda untuk di timbang beratnya kepada pegawai bank.
4-Anda isikan butir diri yang benar pada borang yang di berikan oleh pegawai bank.
5-Setelah butiran di sahkan benar dan berat emas diketahui, anda akan menerima tunai kebiasaannya sebanyak 60% dari jumlah berat emas anda.
6-Simpan slip gadaian Ar-Rahnu anda dengan baik, jika hilang anda perlu buat laporan polis dan perlu mengangkat sumpah di pesuruhjaya sumpah untuk mendapatkan salinan yang baru.
8-Tebus semula emas anda dengan membawa slip simpanan Ar-Rahnu anda pada bila-bila masa sebelum atau pada tarikh akhir gadaian anda. maksima simpanan 6 bulan.

Satu dari kebaikan buat Ar-Rahnu di Bank adalah upah simpannya sangat murah berbanding dengan pajak gadai yang ada. Upah simpan di luar bank adalah sekitar RM20 sebulan berdasarkan pemerhatian saya.Manakala upah simpan Ar-Rahnu di bank adalah di bawah RM10 sahaja. Jimat banyak tu.

**Saranan saya, Anda beli beberapa emas yang biasa di pakai seperti gelang, rantai tangan dan rantai leher yang berharga dari RM850 sehingga RM1800. ada rahsia boleh buat untung emas dengan banyak tu kalau tahu caranya.. hehe.. 😉

Baca pula:
Industri Pajak Gadai Islam Berdaya Maju
Ar-Rahnu Pajak Gadai Islam Pertama di Dunia
Ar-Rahnu: Cara Ambil Lebihan Emas Dilelong

Satu komen

  1. wadiah yadul damanah = bukan kah itu maksudnya safekeeping barang yang sama jenis dan bentuk tetapi xsama pemilikan? contoh… no siri not 50 ringgit yang kita simpan…xsama dengan not 50 ringgit semasa kita kluarkan dari atm…

    kenapa tidak nama bil ujrah (dengan upah)

Tinggalkan komen