PEMIKIRAN KREATIF DAN KRITIS
Oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik
Alhamdulillah minggu lepas dapat saya menyertai Kursus Pemikiran Kreatif dan Kritis oleh Dr. Tengku Naufal selama 2 hari. Memang amat menarik perkongsian yang diberinya. Dapat membangunkan cara saya berfikir yang sudah lama tertidur dalam kemalasan berfikir yang tidak kemana-mana dan membuka tahap baru cara memikirkan sesuatu.
Tetapi entry hari ini bukan untuk membincangkan kandungan kursus itu tetapi lebih kepada cuba kaedah berfikir di luar kotak dalam memikirkan sesuatu, kira-kira ulangkaji la ni. Dah belajar kena amal baru berhasil. 😉 Kalau amal perkara baik dapat balasan yang baik, kalau amal perkara buruk sendiri tanggung akibatlah.
Minggu ini sedang hangat Kempen Earth Hour di seluruh dunia, tetapi dalam terpandang-pangdang gambar kempen tersebut saya mula memikirkan sesuatu yang lain, yang lain menurut pandangan saya hari ini:
60 = umur kita lebih kurang panjangnya kebanyakan umur manusia kini di dunia. kalau lebih tu extra Allah beri untuk perbaiki mana yang silap kalau kita sedar.
Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW,
“Wahai Rasul, manusia yang bagaimanakah yang paling baik?” Rasulullah saw bersabda, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya.” Kemudian orang itu bertanya lagi, “Wahai Rasul, manusia yang bagaimanakah yang paling buruk?” Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang panjang umurnya namun buruk amalnya” (HR. Ahmad).
Firman Allah Surah an-Nahl 70:
“Allah jualah yang telah menciptakan kamu, kemudian ia mewafatkan kamu. Di antara kamu ada yang dipanjangkan umurnya sampai tua bangka, sehingga menjadi tidak tahu apa-apa sesudah dia mengetahui segala-galanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Kuasa.”
Bumi = Dunia ini yang saya tempati, Rasullullah saw telah mengingatkan: “Rebutlah lima perkara sebelum terjadi lima perkara: Masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sehatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu dan masa hidupmu sebelum tiba masa ajalmu.” (HR. Al-Hakim, Baihaqi, Ibnu Abi’ddunia, Ibnul-Mubarrak)
“Takkan bergeser kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara:
Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan
Tentang masa mudanya, untuk apa dipergunakan
Tentang hartanya, dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan
Tentang ilmunya, apa yang sudah diperbuat dengannya. ” (HR. Tirmidzi)
Bergelap sejam = Kegelapan selepas kematian adalah lebih lama, cukupkah bekalan amalku yang akan menerangiku di alam kubur sana nanti?
Firman Allah Surah al-baqarah 2:17:
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta dan anak-anakmu dari mengingat Allah. maka barang siapa melakukan yang demikian, mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah rezeki yang kami berikan kepadamu sebelum maut datang menjumpai seseorang dari kamu; Lalu berkata:’Tuhanku Kalau dapat Engkau tangguhkan matiku sebentar saja, niscaya aku akan memberi sedekah dan aku akan menjadi orang-orang yang mengerjakan kebaikan.’ Allah tidak akan memberi tangguh kepada seseorang apabila telah sampai ajalnya, dan Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan.” (QS 63:9-11)
Ya Allah, Sesungguhnya masa yang ada untuk kami hanyalah sedikit berbanding tanggungjawab yang perlu kami tunaikan. Tiada daya dan kekuatan melainkan-Mu Tetapkanlah iman kami dari hati yang boleh berbalik-balik.