KENYATAAN YANG KEDUA
Kitab Risalah Tauhid
Pindaan Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusuf
6 November 1952
Suntingan jawi ke roman oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik
PERHATIAN MENUNJUKKAN TUHAN YANG MENJADIKAN ALAM
Sesungguhnya jika seseorang berfikir dan menilik memperhatikan kejadian alam ini nescaya ia dapat pertunjuk bahawa tuhan yang menjadikan dia. Maka umbi dan puncanya ialah dari meng-Esa-kan Allah Subhanahu wa taala bagaimana kenyataan di bawah ini:
1. Kamu lihat pada suatu benda atau kejadian seperti kerusi-kerusi meja dan sebagainya, nescaya kamu dapati kerusi-kerusi meja itu tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan kamu percaya ada yang membuatnya. Demikian juga segala kejadian alam ini tidak boleh ada melainkan ada yang membuatnya dan yang mengadakannya yang demikian dengan pandangan kamu yang pertama ini maka dapatlah kamu beriktiqad dan percaya alam ini tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang mengadakan adanya itu.
2. Kamu siasat lebih jauh lagi tatkala kamu perhatikan perbuatan-perbuatan tukang kerusi-kerusi dan meja-meja itu bersalah-salahan, ada yang molek dan ada yang hodoh, dan ada yang sempurna dan ada yang kurang, maka yang molek dan sempurna itu sentiasa menerima bertambah-tambah molek-molek dan sempurna, sehingga kamu dapati segala ketukangan orang yang kemudian lebih molek lebih sempurna daripada tukang yang terdahulu. Nyatalah dengan sebab lebih kepandaian orang yang kemudian kerana melihat perbuatan orang yang terdahulu demikianlah sehingga sekarang tiada kesudahan bertambah-tambah molek dan sempurna.
Maka dengan perhatian ini nyatalah pula sekalian manusia itu dalam kekurangan dan lemah, hanyalah kadar yang di anugerahi tuhan akandia ilmu dan kekuatan jua kalau tidak tentu manusia itu telah membuat dengan sempurna terus.
3. Kamu pandang pula kepada kejadian manusia, bulan, matahari, binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan sama ada yang kecil atau yang besar maka kamu dapati tiap-tiap satunya telah di jadikan cukup lengkap dengan aturan dan kejadian yang elok dan hikmat yang pelik seperti yang ada tersusun pada manusia itu iaitu berakal, bertutur, mendengar dan apabila kamu menilik( melihat) kepada bumi, bulan, matahari, binatang-binatang, tunbuh-tumbuhan maka adalah segala perkara-perkara itu semuanya daripada segala manfaat maslahat dan hikmat yang melemahkan segala akal cerdik pandai memikirkan kejadiannya itu kerana melengkapi segala keindahan yang tiada tolok banding. Yang demikian nyatalah kepada kamu sesungguhnya yang menjadikan perkara tersebut itu ialah yang mempunyai kuasa yang sempurna ilmu yang luas dan bersifat dengan segala sifat yang kesempurnaan yang mahasuci dari serupa dengan makhluk.
Sesungguhnya telah dapat di ketahui daripada qaidah syariah dan perkhabaran anbia bahawa adalah yang menjadikan atau mengadakan atau membaharukan alam ini ialah Allah Taala, Kerana segala perbuatannya itulah menunjukkan bekas bagi segala sifatnya yang maha suci dan tidaklah makhluk dapat mengetahui hakikatnya kerana sekalian makhluk sentiasa bersifat lemah dan kekurangan.