KENYATAAN YANG PERTAMA
Kitab Risalah Tauhid
Pindaan Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusuf
6 November 1952
Suntingan jawi ke roman oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik
HUKUM AQAL
Sesungguhnya tiap-tiap seseorang yang hendak mengenal Alah Taala dan mengetahui sifat-sifat-Nya maka wajib lebih dahulu ia mengetahui akan Hukum Akal. dan bahagiannya, kerana ia jadi neraca bagi hendak menghukumkan sifat-sifat tuhan yang di perintahkan mengenal itu.
Sekalipun permulaan wajib atas tiap-tiap mukalaf mengenal tuhan tetapi permulaan wajib untuk mengenal sifat-sifat tuhan itu ialah mengetahui hukum-hukum akal.
PENGERTIAN HUKUM AKAL
Hukum akal itu ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yanglain atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain dengan tidak berkehendak kepada di cuba pada menetapkan sesuatu perkara itu (bersalahan hukum Ngadi yakni Adat) dan tidak tergantung kepada suatu perbuatan yang di perbuat oleh mukalaf (bersalahan hukum syar’ie)
PENGERTIAN AKAL
Adalah akal itu satu sifat yang di jadikan tuhan pada manusia sehingga dengan dia terbeza manusia daripada haiwan, maka dengan dialah boleh menerima Ilmu Nazhoriah (pengetahuan yang berkehendakkan fikir) dan boleh mentadbirkan segala-segala pekerjaan dengan fikiran yang halus-halus dan yang sulit-sulit, dan daripadanya tempat terbit dan terpancarnya berbagai-bagai manfaat dan kebahagiaan bagi manusia.
Tetapi kiranya akal itu bersendirian maka tidak akan dapat akal sejahtera, akal waras dan akal sihat melainkan berpandu kepada undang-undang syarak, demikian juga undang-undang syarak tidak boleh berjalan mengikut yang di kehendaki melainkan berhajat kepada akal. Walhasil antara kedua-duanya itu berlaziman dan berhajat antara satu dengan yang lain (akal berhajat kepada syarak dan syarak berhajat kepada akal).