Puasa [Syiyam]

RUKUN ISLAM KE TIGA: Puasa [syiyam]

Puasa dari segi bahasa bermakna menahan diri.
Puasa dari segi istilah syarak bermaksud menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkannya dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dengan syarat tertentu, dimulai dengan niat kerana Allah semata-mata.

Puasa terbahagi dua:
1. Puasa wajib yakni puasa dalam bulan ramadhan dalam kalendar islam.
2. Puasa sunat diantaranya: puasa 6 hari dalam bulan syawal

Suruhan berpuasa terkandung di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah ayat ke 183 – 185.

Puasa dalam bulan Ramadhan ditentukan dengan:
1. Melihat anak bulan ramadhan setelah terbenam matahari pada tanggal 29 akhir bulan Sya’ban dalam calendar islam.
2. Penetapan tarikh dilakukan oleh hakim syarie akan awal bulan ramadhan berdasarkan keterangan saksi, sekurang-kurangnya seorang lelaki yang diakui, bahawa ia melihat bulan.
3. Penetapan melalui kaedah kiraan ahli hisab ( perhitungan ) yakni
Apabila anak bulan tidak terlihat maka bulan sya’ban digenapkan 30 hari.
Melalui keterangan orang yang dapat dipercayai kebenarannya oleh penerima berita ia melihat bulan ramadhan walau ia perempuan, orang fasik atau kanak-kanak.

‘Allah yang telah mengatur menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya serta diaturnya tempat perjalanan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungnya (hisabnya). Tuhan tidak menjadikan semuanya itu kecuali dengan pasti. Tuhan menerangkan segalanya (tanda) dengan ayat-ayatNya bagi semua orang yang berpengetahuan.’ Surah Yunus ayat 5.

Syarat orang yang Wajib puasa:
1. Beragama Islam, tidak wajib berpuasa bagi orang bukan Islam.
2. Sampai umur [baligh] dan berakal, kanak-kanak boleh dilatih dan diajar untuk berpuasa.
3. Suci dari Haid dan nifas bagi wanita.
4. Berkuasa [ada kekuatan], tidak sakit dan bukan yang sudah uzur tua. Dibolehkan mereka ini tidak berpuasa tetapi wajib membayar fidyah.

Syarat sah puasa:
1. Islam
2. Tamyiz yakni orang atau kanak-kanak yang dapat membezakan di antara baik dan buruk.
3. Bukan orang gila.
4. Suci dari haid dan nifas. Wanita yang dalam haid dan nifas tidak sah berpuasa tetapi wajib ganti [qadha] pada lain masa sebanyak bilangan hari yang ditinggalkannya sebelum masuk bulan ramadhan tahun berikutnya.
5. Puasa yang dilakukan mestilah dalam bulan ramadhan mengikut Kalendar Islam.

Rukun puasa:
1. Berniat pada malam harinya, dalam hati tergerak (niat) esok harinya ingin melakukan puasa ramadhan.
2. Meninggalkan perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib).

Perkara yang membatalkan puasa:
1. Memasukkan sesuatu dalam rongga badan dengan sengaja seperti makan, minum, merokok.
2. Memasukkan sesuatu dalam telinga dan hidung melebihi pangkal hidung. Jika terlupa tidaklah membatalkan puasa. Suntikan di lengan, paha dan punggung tidaklah membatalkan puasa.
3. Muntah dengan sengaja.
4. Datang Haid dan nifas bagi wanita.
5. Jima’ pada siang hari selepas terbit fajar. Wajib membayar denda kifarah (puasa 2 bulan berturut tanpa putus dan jika tidak mampu hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin).
6. Gila walaupun sekejap.
7. Mabuk atau pengsan sepanjang hari.
8. Murtad (keluar Agama Islam)

Perkara disunatkan semasa berpuasa:
1. Makan sahur walaupun sedikit, kerana dalam sahur ada barakahnya.
2. Mengakhiri sahur 10 minit sebelum terbit fajar, sekira-kira kadar orang membaca 50 ayat.
3. Menyegerakan berbuka setelah masuk waktu maghrib.
4. Membaca doa ketika berbuka: ‘ Ya Allah, kerana engkaulah aku berpuasa dan dengan rezekimu aku berbuka dan kepadamulah aku beriman’.
5. Menjauhi ucapan sia-sia, kata-kata keji, mencela, berbohong dan lain-lain.
6. Membanyakkan beramal kebajikan, bersedekah, membaca quran, berzikir dan lain-lain.
7. Membanyakkan beriktikaf di Masjid.

Perkara makruh semasa Puasa:
1. Berkumur-kumur bersangatan.
2. Merasa dengan lidah makanan.
3. Berbekam, cacar dan suntikan.
4. Bersiwak, sikat gigi setelah gelincir matahari.

Bagi orang yang bermusafir lebih dari 81 kilometer [2 marhalah] di bolehkan tidak berpuasa tetapi wajib qadha [ganti] sebanyak bilangan hari ditinggalkan.