Arkib

Tag Archives: Nasihat Agama dan Wasiat Iman

MERENDAH DIRI

HADITH KETIGA
Dari Kitab An Naso ihud diniyyatu wal wasoyal imaniyyatu (Nasihat Agama dan Wasiat Iman).
Oleh Imam Habib Abdullah Haddad.

Hadith ini telah disebut oleh Al-Hafizh Al-Mundziri rahimahullah Taala di dalam kitabnya At-Targhib Wat-Tarhib, sambil mengatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh At-Tabari.

Berbahagialah orang yang merendah diri tanpa mengurangi kedudukannya, dan menghina diri tanpa diminta melakukan demikian, membelanjakan harta yang dikumpulnya pada jalan yang diridhai Allah (bukan maksiat), menaruh sifat belas kasihan terhadap orang-orang yang lemah dan miskin, bercampur gaul dengan ilmiawan dan ahli kebijaksanaan.

Berbahagialah orang yang baik (halal) mata pencariannya, lurus batinnya, mulia zahirnya, dan kejahatannya disingkirkan dari orang ramai.

Berbahagialah orang yang beramal dengan ilmu pengetahuannya, membelanjakan kelebihan dari harta kekayaannya, serta menahan kelebihan dari tutur bicaranya.

15 PUNCA BENCANA

HADITH KELIMA
Dari Kitab An Naso ihud diniyyatu wal wasoyal imaniyyatu (Nasihat Agama dan Wasiat Iman).
Oleh Imam Habib Abdullah Haddad.

Diriwayatkan oleh At-Termidzi, seraya katanya: Hadith ini adalah gharib, yang hanya diriwayatkan dari Saiyidina Ali bin Abu Thalib semata.

Daripada Ali bin Abu Thalib ra berkata: Telah bersabda Rasulullah saw:

Jika umatku melakukan lima belas perkara yang berikut ini, nescaya bala bencana akan menimpa mereka. Para sahabat lalu bertanya: Apa dia itu wahai Rasulullah? Jawab baginda:

1. Jika harta rampasan perang itu bertukar tangan.
2. Jika amanat dikira suatu keuntungan.
3. Jika zakat di anggap sebagai denda (dikeluarkan secara terpaksa).
4. Jika lelaki terlampau tunduk kepada isteri.
5. Jika ramai yang menderhaka kepada ibu.
6. Jika orang terlampau patuh kepada teman.
7. Sedang ayah sendiri dihampakan dan disia-siakan.
8. Jika orang suka bertengkar-tengkar dalam masjid.
9. Apabila orang yang rendah maruahnya menjadi ketua/pemimpin sesuatu kaum.
10. Apabila orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya.
11. Apabila minuman keras tersebar luas.
12. Apabila ramai orang memakai kain sutera.
13. Apabila penyanyi-penyanyi wanita di utama dan di agungkan.
14. Apabila alat-alat muzik digunakan.
15. Apabila umat hari ini mengutuki umat sebelumnya.

Apabila hal-hal serupa ini telah berlaku, maka tunggulah ketika itu akan tibanya angin panas, atau bahaya-bahaya lain umpama gempa bumi dan penukaran corak dan rupa.

KELEBIHAN AMAL

HADITH KEDUA
Dari Kitab An Naso ihud diniyyatu wal wasoyal imaniyyatu (Nasihat Agama dan Wasiat Iman).
Oleh Imam Habib Abdullah Haddad.

Hadith ini telah disebut oleh Imam As-Sayuthi di dalam kitabnya Syarhus-Shudur, Sambil berkata, ia telah dikeluarkan oleh At-Tabarani di dalam kitab Al-Kabir. Begitu pula oleh Al-Hakim At-Tarmidzi di dalam kitab Nawadirul-Ushul, dan Al-Isfahani di dalam kitabnya At-Targhib.

Daripada Abdur Rahman bin Samurah ra berkata: Sekali peristiwa Rasulullah saw keluar, seraya berkata:

“Sesungguhnya aku telah bermimpi ajaib malam kelmarin. Aku telah melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikatul Maut untuk mengambil nyawanya, maka Malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada kedua ibu bapanya.

Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima siksa kubur, maka ia telah diselamatkan oleh wudhu’nya.

Aku melihat juga seorang dari umatku telah diseret oleh Malaikat Azab, maka segera menjelang solatnya serta melepaskannya dari tangan mereka.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang berat, setiap ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk meminum daripadanya. Maka segera menjelang puasanya serta memberinya minum hingga ia merasa puas.

Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para nabi, yang ketika itu sedang duduk berkumpul-kumpul, setiap ia mendekati mereka, ia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil memimpinnya ke kumpulanku seraya menunjukkannya supaya duduk disisiku.

Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap gelita, dihadapannya gelap, di bawahnya juga gelap, sedang ia dalam keadaan bingung, maka menjelmalah haji dan umrahnya lalu mengeluarkannya dari suasana gelap gelita itu dan memasukkannya ke dalam suasana terang benderang.

Aku melihat juga seorang dari umatku berbicara kepada kaum Mu’minin, akan tetapi tidak seorang pun dari mereka yang mahu membalas bicaranya, maka menjelmalah silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu, katanya: Wahai kaum Mu’minin sambutlah bicaranya, lalu mereka pun berbicaralah dengannya.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang menepis-nepis bahang api dan percikkannya dari mukanya, maka segera menjelmalah sedeqahnya lalu menabiri muka dan kepalanya dari bahaya api itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah ke merata tempat, maka menjelmalah Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkarnya seraya menyelamatkannya dari cengkaman mereka serta menyerahkannya pula kepada Malaikat Rahmat.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya dengan Tuhan dipasang hijab (tabir) maka menjelmalah budipekertinya seraya memimpinnya sehingga dibuka hijab tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah Taala.

Aku melihat juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku catitannya, maka menjelmalah perasaan takutnya kepada Allah lalu menukarkan tujuan buku catitan itu ke arah kanan.

Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka menjelmalah anak-anaknya yang mati kecil, lalu menekan timbangan itu sehingga menjadi berat pula.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahannam, maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap siksa Allah Taala lalu membawa jauh dari tempat itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka menjelmalah airmatanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala, lalu menyelamatkannya dari api neraka itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti Shirat (titian) manakala seluruh tubuhnya bergoncang, seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Taala, lalu menenteramkan kegoncangannya itu dan mudahlah ia meniti hingga hujung titian itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sudah hampir tiba di pintu syurga, dan dengan sekonyong-konyong pintu-pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya Bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah, lalu membukakan pintu-pintu syurga itu untuknya. sehingga ia boleh memasukinya.

Aku melihat juga ada ramai orang yang digunting-gunting lidahnya, maka aku bertanya Jibril siapa gerangan mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang-orang yang suka mambawa mulut ke sana ke mari. Dan aku melihat juga orang-orang yang digantung dengan lidah-lidah mereka, maka aku bertanya Jibril siapa gerangan mereka itu. Maka Jibril menjawab: Mereka itulah orang-orang yang melemparkan tuduhan terhadap kaum Mu’minin dan Mu’minat dengan tuduhan tanpa bukti.

PERJALANAN ROH MANUSIA

HADITH PERTAMA
Dari Kitab An Naso ihud diniyyatu wal wasoyal imaniyyatu (Nasihat Agama dan Wasiat Iman).
Oleh Imam Habib Abdullah Haddad.

Hadith di bawah ini dicatat oleh Al-Hafizh As-Sayuthi rahimahullah di dalam kitabnya Syarhus-Shudur,
yang menurutnya telah dikeluarkan oleh Ibnu Abid-Dunya dan Abu Nu’aim.

Daripada Jabir bin Abdullah ra berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya anak adam itu sentiasa dalam lalai tentang apa yang dijadikan Allah baginya. Sessungguhnya ketika ia dicipta oleh Tuhan, berkata Tuhan kepada malaikat: catitkanlah rezekinya! catitkanlah jalan hidupnya! catitkanlah ajalnya! catitkanlah sama ada kesudahannya celaka atau bahagia! Sesudah menjalankan tugas Malaikat itu pun kembali.

Kemudian ditugaskan dua malaikat pula untuk menuliskan semua kebajikan dan kejahatan orang itu seumur hidupnya. Apabila ia menemui ajalnya (mati), kedua malaikat tadi pun berangkat kembali.

Lalu ditugaskan Allah Malakul-Maut (Izrail) untuk mengambil nyawanya. Setelah selesai dikuburkan, rohnya dikembalikan ke jasad. Ketika itu tibalah dua malaikat lain (Mungkar dan Nakir) untuk menyoalnya. Setelah selesai di soal, keduanya pun kembalilah.

Apabila tiba saat (hari kiamat) masing-masing malaikat yang menulis kebajikan dan yang menulis kejahatan itu turun semula dengan sebuah buku catitan, lalu buku catitan itu digantungkan di leher orang itu, sambil keduanya mengiring orang itu, yang satu sebagai pemimpin dan yang stau lagi sebagai penyaksi.

Kemudian Rasulullah saw bersabda lagi: Sesungguhnya suatu perkara besar sedang menanti kamu di hari muka, yang mana kamu tiada langsung tertanggung olehnya, maka hendaklah kamu memohon pertolongan Allah yang Maha Agung.”

10 WASIAT IMAM SYAFIE

Sebelum Imam Syafie kembali ke rahmatullah,
beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya:

“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

HAK KEPADA DIRI

Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan sia-sia dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

HAK KEPADA KUBUR

Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)

Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)

Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)

Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

HAK KEPADA NABI S.A.W

Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat dengan mengikut sunnahnya, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers