Arkib

Tag Archives: maksud mimpi

MIMPI TANG TIDAK BAIK

KITAB RAHASIA SUFI
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.
Terjemahan Abdul Majid Hj Khatib
Ditahkik dan di tulis semula oleh Syed Ahmad Semait

Ada juga mimpi akibat perangai yang tidak baik. Mimpi seperti ini menunjukkan sifat ego, jahat atau menunjukkan kesedaran tentang kesalahan atau dosa diri, tetapi ia tidak mampu menghentikan atau mengelakkan dosa dan kesalahan itu.

Kadang-kadang Allah mengingatkan seseorang itu tentang dosa dan kesalahannya dengan mimpi melihat binatang buas seperti harimau, singa, serigala, beruang, anjing, babi, ular, lipan kala dan sebagainya. Misalnya harimau melambangkan sifat megah, sombong dan takabur yang melampau hingga melawan Allah swt.

Firman Allah:
‘Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan di bukakan bagi mereka pintu langit dan tidak pula mereka masuk syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat kejahatan.’ -surah Al-A’raf ayat 40.

Demikian juga mereka yang membuat kezaliman kepada orang lain, akan mendapat balasannya yang adil dan saksama.

Singa melambangkan sifat terlampau ego dan bangga diri.
Beruang melambangkan sifat marah dan zalim terhadap orang-orang di bawah kawalannya.
Serigala melambangkan tamak haloba, tidak kira halal haram, bersih atau kotor.
Anjing melambangkan sifat rakus, cemburu, dengki, dendam kesumat dan nafsu ammarah dan serakah.
Musang melambangkan sifat suka menipu dalam urusan dunia.
Arnab melambangkan kelakuan yang sama tetapi di lakukan secara tidak disedari dan tidak disengajakan.
Harimau bintang melambangkan usaha yang di buat secara tidak munasabah.
Kucing melambangkan sifat kebakhilan atau kedekut dan penipuan.
Ular melambangkan putar belit (penipuan), suka mengata-ngata orang, suka membuat tuduhan palsu dan menzalimi orang lain.
Kala melambangkan kritikan yang negatif dan gemar mempermain-mainkan dan memperolok-olokkan orang lain.
Tabuan melambangkan bahasa dan kata-kata yang menyakitkan hati.

Jika seseorang itu bermimpi kalah berlawan dengan binatang-binatang tersebut, maka ia perlu memperkuatkan dirinya dengan lebih banyak beribadat dan berzikir, sehinggalah ia boleh mengalahkan binatang-binatang itu dengan sekali pukul saja.

Jika seseorang itu bermimpi membunuh binatang-binatang itu, maka ini menunjukkan bahawa ia telah berhenti membuat dosa atau menyakiti orang lain.

Firman Allah:
‘……. Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.’
-surah Muhammad ayat 2.

Jika seseorang itu bermimpi melihat binatang-binatang itu menjadi manusia, maka itu menunjukkan dosa dan kesalahannya yang lalu telah di hapuskan atau di ampunkan dan ia menjadi orang baik, taubatnya di terima oleh Allah kerana tanda yang benar taubat itu di terima ialah ia tidak lagi sanggup membuat kesalahan dan dosa yang sama.

Firman Allah:
‘Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal saleh, maka kejahatan mereka di ganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’
-Surah Al-Furqan ayat 70.

Apabila seseorang itu telah selamat dari dosa dan noda, maka janganlah ia lalai lagi kerana nafsu dan egonya akan kuat semula sekiranya ia mengingat kembali zaman lamanya. Keadaan jiwa yang damai tenteram mudah hilang dan jadi resah gelisah.

Tujuan Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya jangan menghampiri yang haram ialah untuk menjadikan hamba itu waspada sentiasa dan berkekalan dalam kebaikan dan kebajikan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers