Arkib

Tag Archives: ilmu Usuluddin

MABADI: SERI PEMBUKAAN ILMU TAUHID

Kitab Risalah Tauhid
Pindaan Abdul Ghani Yahya dan Omar Yusuf
6 November 1952

Suntingan jawi ke roman oleh: Mohamad Hakim Bin Tastik

Perkataan ‘Mabadi’ itu bahasa arab jamak daripada ‘Mabda a’ asal maknanya: Punca mula terbit, sebab. maksudnya ialah keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Hari ini orang sebut ‘seri pembukaan’ atau ‘anggaran dasar’.

Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuloh perkara:

1. Nama ilmu itu iaitu di namakan ‘Ilmu Tauhid, Ilmu Kalam, Ilmu Usuluddin, Ilmu Sifat, Ilmu Aqaidil Iman’.

2. Tempat ambilannya -iaitu diterbitkan daripada quran dan hadith.

3. Kandungannya -iaitu mengandungi pengetahuan darihal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada tuhan dan kepada rasul-rasul-Nya. Daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperoleh Iktiqad yang yakin. kepercayaan yang putus sekira-kira menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan itu.

4. Tempat bahasnya (Maudhuknya) kepada empat tempat:
4.1 Pada zat Allah Taala dari segi sifat-sifat yang wajib bagi-Nya, Sifat-sifat yang mustahil atas-Nya, dan Sifat-sifat yang harus pada-Nya.
4.2 Pada zat rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib baginya, sifat-sifat yang mustahil baginya, dan sifat-sifat yang harus baginya.
4.3 Pada segala kejadian dari segi jiram-jiram dan ard-ard sekira-kira keadaannya itu jadi pertunjukkan dan dalil atas wujud yang menjadikandia.
4.4 Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal syurga, neraka dan hal-hal hari kiamat.

5. Faedah ilmu ini – iaitu dapat mengenal tuhan dan percayakan rasul dan mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat yang kekal.

6. Nisbah ilmu ini dengan lain-lain ilmu – iaitu ilmu ini ialah ilmu yang terbangsa kepada ugama islam yang paling utama sekali.

7. Yang menghantarkan – iaitu yang pertama mereka yang mengaturkan titisan ilmu tauhid dengan mendirikan dalilnya untuk menolak perkataan mereka yang menyalahi, ialah daripada ulama-ulama yang mashur Imam Abul Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur AL-Maturidi, tetapi mereka yang pertama menerima ilmu tauhid tuhan ialah Nabi Adam alaihissalam dan yang akhir sekali ialah saidina Muhammad Sallallahualaihiwasallam.

8.Hukumnya -iaitu Fardhu Ain atas tiap-tiap orang yang Mukalaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat tuhan dengan jalan Ijmal (ringkasan atau rangkum) dan dengan jalan Tafsil (huraian atau satu persatu) beserta dengan dalil Ijmal, adapun mengetahui dalil Tafsil itu Fardhu Kifayah.

9. Kelebihannya -iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith nabi sallallahu alaihi wasallam artinya: Sanya tuhan tidak memfardhukan sesuatu yangterlebih afdhol daripada meng-Esa-kan tuhan dan jika ada sesuatu itu terlebih afdhol daripadanya nescaya tetaplah telah di fardhukan ke atas malaikat-Nya pada hal setengah daripada malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selamanya dan setengahnya ada yang sujud selamanya.

Dan juga kerana ilmu tauhid ini jadi asal bagi segala ilmu-ilmu yang lain yang wajib di ketahui dan lagi kerana mulia Maudhuknya iaitu zat tuhan dan rasul dari itu jadilah ia semulia-mulia ilmu.

10. Kesudahan ilmu ini -iaitu dapat membezakan di antara aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.

TIGA ILMU WAJIB DIPELAJARI MUSLIM

Tajuk: Keterangan mengenai ilmu-ilmu yang dihukumkan mempelajarinya merupakan Fardhu ‘Ain.
Sumber: naqsabandiah

Ilmu-ilmu yang dihukumkan mempelajarinya merupakan suatu Fardhu ‘Ain ialah tiga :

Pertama : Ilmu Tauhid yang dinamakan ilmu Usuluddin, juga dinamakan ilmu ‘Aqidah.

Kedua : Ilmu Syari’at yang dinamakan ilmu Furu’, juga dinamakan ilmu Feqah.

Ketiga : Ilmu Batin yang dinamakan ilmu Suluk dan ilmu Thariqat, juga dinamakan ilmu Tasawuf.Semua termasuk di dalam Hadis s.a.w:

Ertinya :

Anggaran ilmu Tauhid yang dihukumkan mempelajarinya itu Fardhu ‘Ain ialah mengetahui Zat Allah Ta’ala,semua sifatNya yang salbiah dan yang tsubiyah dan semua perbuatanNya, begitu juga mengenal penghulu kita Nabi s.a.w.,mengetahui mengenai semua Rasul alaihimus-shalatu-wassalam dan ajaran-ajaran yang mereka sampaikan, dan beriman dengan semua itu seperti mana yang akan diperkatakan di dalam ilmu Tauhid atau ilmu Usuluddin atau ilmu ‘Aqaid di dalam buku ini insya Allah.

Setakat ini memadailah mempelajari ilmu Tauhid yang terdapat di dalam buku ini dan di dalam Ihya’ Ulumiddin sebagai Fardhu ‘Ain.Sementara melakukan lebih daripada itu seperti menghuraikan dalil-dalil dan menolak perkara-perkara syubhat yang dikemukakan oleh sesetngah pihak, ianya adalah Fardhu Kifayah bukan Fardhu ‘Ain dan orang yang suluk mengikut jalan Akhirat tidak disuruh memperbanyak pengajian terhadap ilmu Usuluddin yang dihukum mempelajari sebagai Fardhu Kifayah.Ia hanya diminta mengetahui mana yang dihukumkan Fardhu ‘Ain sahaja.Kerana inilah Asy-Syeikh Al-`Arif-‘Arif Billah Syeikh Qasim Al-Halabi berkata di dalam bukunya berjudul “Sairus-Suluk”: Dan tidak patut seseorang suluk mengikuti jalan Akhirat itu, menyelami ilmu ‘Aqaid iaitu ilmu Usuluddin kerana tiada sebarang faedah baginya dengan penyelaman itu, sebaliknya ia hendaklah mengambil sekadar yang diperlukan sahaja iaitu sekadar yang dihukumkan mempelajarinya sebagai Fardhu ‘Ain.”

Anggaran ilmu Feqah yang dihukumkan mempelajarinya itu Fardhu ‘Ain ialah berhubung dengan thahharah, fardhu shalat dan puasa,mengeluarkan zakat apabila cukup nisab dan menunaikan fardhu haji apabila berkemampuan,begitu juga mengetahui perkara-perkara yang membatalkan shalat,puasa,zakat, dan haji.

Mempelajari ilmu Feqah lebih daripada yang telah disebutkan itu adalah Fardhu Kifayah, dan orang yang suluk tidak diminta mempelajari ilmu Feqah yang Fardhu Kifayah itu.Kerana inilah Imam Ghazali Rahimatullah Ta’ala ketika memperkatakan mengenai guru yang mengajarkan ilmu dan murid yang menuntut ilmu, di dalam bukunya Bidayatul-Hidayat telah menyebut: “Dan guru hendaklah menahan murid daripada terlibat mempelajari ilmu yang Fardhu Kifayah sebelum selesai daripada mempelajari ilmu Fardhu ‘Ain (yang tiga itu iaitu ilmu Tauhid, ilmu Syari’at dan ilmu Batin).”

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers