Arkib

Arkib Label: ilmu Ushuluddin

GHURUR: TERPEDAYA ATAU TERTIPU

Kitab Siyarus Salikin juz3
Syeikh Abdus Samad Al-Jawi Al-Palembani

Hakikat Ghurur: iaitu seseorang menyangka baik sesuatu yang kelihatan baik, sedangkan pada hakikatnya bertentangan dengan sangkaannya.

Firman Allah:
“Janganlah kehidupan dunia itu memperdayakan kamu dan janganlah perasaan ghurur itu memperdayakan kamu terhadap Allah Taala.” -Surah Luqman ayat 33.

Barangsiapa yang beriktiqad dirinya beroleh kebajikan beerti ia telah terpedaya. Yang lebih terpedaya lagi ialah orang kafir, orang yang melakukan maksiat dan orang fasik kerana menyangka diri mereka berada di dalam kebajikan dan mereka lupa akan kejahatan diri mereka.

Orang yang terpedaya dengan Ghurur itu banyak dan terdiri daripada empat golongan:

1. PARA ULAMA

Kata imam Malik r.a:
“Barangsiapa menuntut ilmu Feqah yang Zahir dan tidak menuntut ilmu Tasawuf yang batin maka sesungguhnya ia menjadi Fasik.”

Imam Ghazali rahimahullahu taala telah menyebut secara terperinci mengenai ulama yang terpedaya di dalam Kitab Ihya Ulumuddin di dalam bab ini.

Barangsiapa yang tidak mengetahui akan Ilmu yang mengetahui tentang keaiban dirinya iaitulah Ilmu Tasawuf yang batin atau mengetahui akan keaiban diri tetapi tidak pula bersungguh-sungguh menghapuskan keaiban diri yang di dalam batin, maka ia adalah seorang yang terpedaya.

2. GOLONGAN YANG BERIBADAT

Berbuat ibadat yang zahir seperti solat, puasa, berzakat, bersedeqah, menunaikan haji, membaca quran dan sebagainya sedangkan ia tidak membersihkan hatinya daripada maksiat-maksiat yang batin seperti riya’, ujub, sum’ah, kibir, hasad dengki, dan lain-lain lagi, maka ia telah terpedaya kerana ibadat yang zahir itu sahnya bergantung kepada pemulihan hati daripada sifat-sifat jahat yang ada di dalamnya.

Diantara orang yang terpedaya di dalam ibadat ialah orang-orang yang mensia-sia ibadat-ibadat yang difardhukan ke atasnya tetapi bersungguh-sungguh membanyakkan perkara-perkara sunat dan syarat-syaratnya.

3. AHLI-AHLI SUFI DAN ORANG-ORANG YANG BELAJAR ILMU TASAWUF.
(Ash-Shufiyah wal-Mutashawwifah)

Antara sufi yang terpedaya itu lagi ialah orang yang belajar ilmu Hakikat seperti martabat tujuh dan segala yang ada kaitan dengannya tetapi tidak mempelajari Ilmu Syariat iaitu ilmu Ushuluddin dan ilmu Feqah, seperti mana kata Imam Malik r.a:

“Barangsiapa yang mempelajari ilmu Tasawuf (yang membicarakan mengenai ilmu Hakikat) dan tidak mempelajari ilmu Feqah dan ilmu Ushuluddin, maka sesungguhnya ia menjadi Zindiq.”

Sementara orang yang mempelajari ilmu Syariat yang zahir iaitu ilmu Ushuluddin dan ilmu Feqah beserta dengan mempelajari ilmu Tasawuf dan bersungguh-sungguh mengikutinya iaitu bersungguh-sungguh mengamalkannya, ia memperolehi ilmu Hakikat iaitu ilmu Ma’rifatullahi Taala dengan sebenar-benar makrifat. Orang seperti ini tidak terpedaya, seperti mana kata imam Malik r.a:

“Barangsiapa menghimpunkan kedua-dua ilmu Feqah dan ilmu Tasawuf dengan mempelajari kedua-duanya maka sesungguhnya ia telah memperolehi ilmu Hakikat (iaitu ilmu Ma’rifatullahi Taala secara yakin dan muktamad.”

Maulana As-Saiyid Abdullah Al-’Aidarus r.a berkata:
“Hendaklah kamu wahai saudara-saudaraku,
mengikuti Al-Kitab iaitu Al-Quran dan mengikuti As-Sunnah atau Hadits nabi s.a.w iaitu Ilmu Syariat yang disyarahkan dalam kitab-kitab Imam Ghazali terutama yang terdapat dalam Kitabut Zikril-Maut, Kitabil-Faqri, Kitabut-Taubati dan Kitabu Riyadhatin-Nafsi, yang mana semuanya itu tersebut di dalam kitab Ihya Ulumiddin.”

“Kitab Ihya Ulumiddin di dalamnya terdapat rahsia ilmu Syariat dan ilmu Thariqat. Kitab Bidayatul Hidayah di dalamnya terdapat ilmu Taqwa iaitu ilmu yang membawa kepada ketaqwaan terhadap Allah Taala. Kitab Al-Arba’in Fi Ushuluddin di dalamnya terdapat keterangan mengenai jalan yang lurus. Kitab Minhajul Abidin di dalamnya terdapat jalan yang menyampaikan kepada Allah dan Kitab Al-Khulashah Fil-Fiqhi di dalamnya terdapat ilmu dan amalan yang menerangi hati.”

4. MEREKA YANG PUNYAI HARTA DAN MEMBELANJAKANNYA

Mereka yang mempunyai harta dan membelanjakannya dalam kerja-kerja kebajikan dengan disertai Riya’ (menunjuk-nunjuk) atau Ujub’ (berbangga diri) atau Sum’ah atau kerana mahukan kemegahan atau mencari kemashuran dan supaya manusia menyebutnya sebagai pemurah hati yang mahukan pujian.

Diantaranya:
a. menyumbangkan harta untuk kerja kebajikan dari harta diperolehi secara haram seperti merampas atau menganiaya atau menipu harta orang sedangkan ia tamakkan mendapat pahalanya atau tamakkan dosanya diampuni.
b. Jika kerja-kerja kebajikan itu tanpa dituliskan nama mereka sebagai pihak yang mengeluarkan belanja nescaya enggan menyumbangkan harta itu.-ini riya’ atau sum’ah.
c. memberi harta untuk dibelanja menghiasi masjid atau madrasah daripada dibelanja untuk faqir miskin atau selainnya yang memerlukan kepada perbelanjaan untuk hidup di kawasannya.
d. Hiasan-hisan di masjid atau di madrasah itu mengganggu hati orang-orang yang solat.

Nota:
Maksud Syariat yang zahir ialah ilmu Ushuluddin dan ilmu Feqah.
Maksud ilmu Syariat yang batin iailah ilmu Tasawuf.
Ilmu Tasawuf iaitu ilmu Thariqat dan ilmu Hakikat.

Orang yang mengikuti jalan ilmu Tasawuf yang mengandungi ilmu Syariat yang zahir dan ilmu Syariat yang batin dinamakan Shufi yang Muhaqqiq.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 146 other followers