Arkib

Tag Archives: hijir ismail

IBADAH UMRAH

Sumber: http://msaadhamid.blogspot.com

Alhamdulillah, apabila kita berkesempatan berada di Masjidil Haram, sama ada untuk melaksanakan umrah ataupun haji, maka hati memang sangat-sangat teringin untuk menadah tangan berdoa kepada Allah s.w.t. Tuhan Yang Maha Pemurah.  Semasa di kampung halaman, kita berdoa di masjid, di surau atau di rumah, mengangkat tangan menghadap kiblat memohon rahmat dan kurnia Ilahi.  Kini semasa di Masjidil Haram, kita berada di hadapan kaabah. MasyaAllah, alangkah beruntungnya tetamu Allah yang berada sangat hampir dengan kaabah sebab di sana terdapat beberapa tempat yang dikatakan mustajab untuk berdoa.

Antara tempat-tempat yang mustajab untuk berdoa di Masjidil Haram ialah:

1. Di Multazam iaitu suatu kawasan antara Hajar Aswad dengan pintu kaabah seperti yang ditunjukkan oleh anak panah dalam gambar di bawah (di tempat polis berdiri).

Masa yang mustajab untuk berdoa ialah setelah pertengahan malam hingga azan Subuh. Di Masjidil Haram azan dikumandangkan sebanyak dua kali. Kali pertama untuk membangunkan penduduk untuk solat malam. Azan kali kedua ialah menandakan masuk waktu subuh. Maka rebutlah peluang untuk berdoa di Multazam pada saat ini. Apakah doa yang paling baik untuk dipohon di sini? Kata Tok Guru saya, pohonlah kepada Allah perlindungan daripada api neraka.

Cara berdoa: Letakkan kedua-dua tapak tangan, pipi kanan, dan dada kiri ke dinding kaabah. Kemudian berdoa.

2. Di belakang Maqam Ibrahim. Waktu mustajab ialah antara azan Subuh dengan solat Subuh. Di sini disarankan kita berdoa untuk mendapat kebahagian keluarga dan untuk kesembuhan penyakit.

3.  Di Belakang Telaga Zam-Zam iaitu kira-kira 7.5 meter kekiri dari 8 saf di belakang maqam Ibrahim. Sehingga pertengahan tahun 90an para jemaah boleh memasuki kawasan telaga zam-zam ini dengan menuruni tangga yang berasingan untuk lelaki dan wanita.  Sekarang ini pintu masuk ke kawasan telaga zam-zam telah ditutup untuk meluaskan lagi ruang tawaf / solat.  Namun kawasan telaga sekarang ini ditandai dengan sekeping marmar 4 segi selebar 1/2 meter dan berbingkai besi bewarna timah.

Masa berdoa di sini ialah pada bila-bila masa sahaja. Usahakan berdoa di sini pada waktu jemaah kurang sesak (agak lapang) iaitu di sekitar jam 10.00 pagi atau 2.00 petang. Di sini disarankan kita berdoa agar Allah s.w.t. melimpahkan ilmu kepada kita. Agar kita mudah menerima ilmu yang bermanfaat. Adalah sangat elok jika sebelum berdoa kita minum air zam-zam dan selepas itu berdoa seperti yang dilakukan oleh Ibnu Abbas.

Daripada ‘Ikramah meriwayatkan, bahawa adalah lbnu Abbas Radhiallahu Anhuma apabila minum air Zamzam beliau berdoa (ertinya) : “Ya Allah ya Tuhanku! Aku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit.” (Diriwayatkan oleh ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

4.  Di Hijir Ismail dan di bawah pancuran emas. Waktu mustajab berdoa ialah di antara selepas Asar dan azan Maghrib. Di sini elok berdoa untuk mendapat kemurahan rezeki di samping kita bersifat qonaah iaitu rasa cukup ke atas rezeki yang Allah kurniakan. Juga di sini sangat elok berdoa untuk mendapat zuriat.

5.  2 meter sebelum rukun Yamani – bertentangan dengan multazam dipanggil Mustajaru ajair. Di sini juga mustajab untuk berdoa. Di sini kita boleh berdoa pada bila-bila masa. Antara doa yang baik di sini ialah agar orang yang berhutang kepada kita membayar hutang.

Kaedah berdoa di sini ialah dengan meletakkan tapak tangan kanan di dinding kaabah dan berdoa.

6. Di Rukun Yamani sebab dikatakan di sini Allah s.w.t. mewakilkan seramai 70 orang malaikat untuk mengaminkan apa yang kita doa.  Jadi arah rukun Yamani adalah antara tempat yang paling mulia di Masjidil Haram.

7.  Di hadapan pintu kaabah pada bila-bila masa.

8.  Tempat sujud Jibrail dan Nabi s.a.w. ketika Jibril mengajar Nabi solat lima waktu. Satu meter ke kanan dari pintu kaabah. Tempat ini ditandai dengan ceramik bewarna coklat pada syazarwan sebanyak 7 keping.

9. Tempat asal Hajar Aswad (melekat ke dinding kaabah)- 3 meter dari  tempat sujud Jibril, ditandai dengan marmar bewarna cream di syazarwan. Di atas marmar tersebut terdapat tulisan ayat kursi versi tulisan arab lama (tidak ada titik).

Alhamdulillah, semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada para jemaah. Segala yang baik itu datangnya dari Allah, dan segala salah dan silap itu adalah kelemahan saya sendiri. Adalah diharapkan agar para pembaca dapat membetulkan mana-mana fakta yang tidak tepat dalam entri ini. Maklumat entri ini saya kutip dari ceramah kursus umrah anjuran Andalusia Cawangan Melaka.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 154 other followers