Arkib

Tag Archives: BERUZLAH ATAU BERKHALWAT

BERUZLAH ATAU BERKHALWAT

KITAB RAHASIA SUFI
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani.
Terjemahan Abdul Majid Hj Khatib
Ditahkik dan di tulis semula oleh Syed Ahmad Semait

SHALAT DAN DOA DALAM UZLAH

Uzlah artinya memencilkan diri atau mengasingkan diri dari orang ramai dengan tujuan melatih diri untuk menghampirkan diri dengan Allah swt.

Barangsiapa memilih jalan untuk meninggalkan hal-hal keduniaan dan memencilkan diri dari orang ramai dengan niat hendak melatih diri supaya dapat menghampirkan diri dengan Allah swt, maka hendaklah ia mengetahui amal ibadat yang perlu di lakukan di dalam uzlah itu, seperti solat, doa, wirid, zikir dan sebagainya.

Dalam uzlah itu diri kita hendaklah bersih zahir dan batin. Pakaian, tempat beruzlah dan badan hendaklah bersih. Niat kita hendaklah ikhlas iaitu kerana Allah semata-mata. Kalau boleh hendaklah berpuasa dalam masa beruzlah itu.

Tempat yang baik untuk beruzlah ialah dalam masjid atau kawasan berhampiran masjid untuk memudahkan kita mengerjakan solat berjamaah lima waktu. Solat berjamaah lima waktu itu adalah penting dan salah satu syarat dalam beruzlah. Dalam pada itu hendaklah kita menyendiri (bersendirian) dan jangan berkata-kata dengan sesiapa pun. Orang yang beruzlah atau berkhalwat itu tidak boleh meninggalkan solat berjamaah lima waktu sehari semalam.

Setiap orang yang beruzlah itu hendaklah mendirikan solat tahajjud. Solat Tahajjud melambangkan tentang kebangkitan semula sesudah mati. Solat ini di lakukan pada malam hari selepas tidur sebentar. Waktu malam adalah waktu yang bagus sekali untuk mendirikan solat, terutama sekali solat Tahajjud, kerana waktu itu biasanya fikiran tenang dan jernih, hati hening dan khusyuk dan gangguan luaran pun tidak banyak atau hampir tidak ada.

Selain itu, di waktu malam sang hamba boleh bermunajat dengan tuhannya tanpa di dengar atau di lihat orang, dan yang demikian itu adalah lebih menimbulkan khusyuk di dalam hati, dan terhindar dari perasaan riya’ yang kadang-kadang mengacau amalan manusia.

Tatkala bangun dari tidur untuk melakukan solat tahajjud itu bacalah:
‘Alhamdulillahillazi akhyaana ba’da maa amaatani wa ilaihinnsyur’
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku selepas mematikan aku, dan kepada-Nyalah tempat kembali.

Kemudian bacalah 10 ayat terakhir dari surah Al-Imran, iaitu ayat 190 – 200.

Selepas itu pergilah berwudhuk, setelah selesai berwudhu bacalah:

‘Asyhadu allaa ilaaha ilallahu wahdahu laa syariikalah, wa asyhadu anna muhammadan abduhu warasuuluh. Subhaanakallahumma wa bihamdika asyhadu an laa ilaaha illa anta, ngamiltu suu an wa dzolamtu nafsi, Astaghfiruka wa atubu ilaika, Faghfirli watub ngalayya, innaka antattawwaaburrahim. Allahummaj ngalni minattawwaabin, waj ngalni minal mutatoh hirin. Waj ngalni min ngibadikassoolihin. Waj ngalni subuuron syakuuran. Waj ngalni azkuruka zikran kasyiran. Wa u sabbihuka bukratan wa asiilan.’

Maksudnya: Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan Rasul-Nya. Maha suci Engkau ya Allah, dengan kepujian-Mu aku naik saksi bahwa tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku telah melakukan kejahatan dan telah menganiaya diriku sendiri, aku mohon keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu, Maka ampunilah daku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Ya Allah ya Tuhanku jadikanlah daku dari golongan orang-orang yang bertaubat, dan golongan orang-orang yang suci, dan jadikanlah daku daripada hamba-hamba-Mu yang soleh. Dan jadikanlah daku sebagai orang yang sabar lagi bersyukur. Dan jadikanlah daku orang yang ingat kepada-Mu dengan ingatan yang banyak, yang mengucap tasbih kepada-Mu siang dan malam.

Kemudian hadapkan muka ke langit da pandanglah bintang-bintang yang gemerlapan sambil membaca dua kalimah syahadat.

Selepas itu baca pula:

‘Allahumma inni nga u zu bi ridhoka min sakhatika, wa bimu ngaafaatika min nguqubatika, wa a nguzu bika minka laa ukhsi thanaa an ngalaika anta kamaa athnaita ngala nafsika. Allahuma inni ngabduka wabnu ngabdika wabnu amatika, naa syiyati biyadika, maadhin fiya hukmuka, naafizun fiyya qadhoo uka. As aluka bikullismin huwa laka sammaita bihi nafsaka, au anzalnatahu fi kitaabika, au ak’toitahu ahadan min kholqika, awista’tsarta bihi fi ngilmil ghaibi ngindaka, an tajngalal quraana rabii nga qalbi wa nuura basori, wa jilaa a ghammi, wa zahaaba khurni wa hammi, Allahummar zuqni khubbaka wa khubba man yukhibbuka, wa khubba kulli ngamalin yuqarribuni ilaika, waj ngal khubbaka a khabbal asy yaaa e ilayya, waj ngal nafsaka a khabba ilayya minal maa eil baaridi.’

Maksudnya: Ya Allah, ya tuhanku, sesungguhnya aku berlindung dengan keridhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan dengan kemaafan-Mu daripada siksa-Mu, dan aku berlindung dengan-Mu daripada-Mu yang mana tiada cukup pujianku kepada-Mu sebagaimana Engkau memuji diri-Mu sendiri. Ya Allah, sesungguhnya aku ini hamba-Mu, dan anak daripada hamba-Mu, dan anak daripada hamba-Mu yang perempuan, ubun-ubunku di tangan-Mu, hukuman-Mu berjalan atasku, ketentuan-Mu lulus terhadapku. Aku bermohon dengan setiap nama yang telah Engkau namakan diri-Mu dengannya atau turunkannya di dalam kitab-Mu, atau Engkau ajarkan kepada seseorang daripada hamba-hamba-Mu, atau yang hanya Engkau saja yang mengetahuinya di dalam ilmu ghaib-Mu (maka aku bermohon dengan berkat nama-nama-Mu itu semuanya) agar Engkau jadikan Al-Quran ini subur di dalam hatiku, cahaya bagi pandanganku, penghapus bagi kesusahanku dan penghilang kedukaan dan kesedihanku. Ya Allah, ya Tuhanku kurniakanlah daku cinta kepada-Mu dan cinta kepada orang yang cinta kepada-Mu dan cinta kepada setiap amalan yang dapat yang menghampirkan daku cinta kepada-Mu, dan jadikanlah cinta kepada-Mu itu perkara yang paling aku cintai, dan jadikanlah Zat-Mu yang lebih aku cintai daripada air yang sejuk.

Kemudian hadapkan muka ke arah kiblat dan ucapkanlah:
‘Allahu akhbar, segala puji bagi-Mu. Aku agungkan Dikau siang dan malam.’

Kemudian baca tasbih ‘subhaanallah’ 10 kali.

Disusuli dengan bacaan tahmid ‘alhamdulillah’ 10 kali.

Dan bacaan tahlil ‘ laa ila ha illallah’ 10 kali.

Selepas itu dirikan solat 12 rakaat dengan salam setiap 2 rakaat. Allah memuji orang yang mendirikan solat tahajjud. Sebagaimana di firmankan-Nya dalam Surah al-isra’ ayat 79 dan surah as-sajdah ayat 16-17.

Selepas itu dirikan 3 rakaat solat witir. Dalam rakaat ketiga, selepas Ik’tidal (berdiri selepas rukuk) baca qunut sebelum sujud. Maka berakhirlah solat malam itu.

Pada siangnya,
selepas terbit matahari kira-kira tingginya sepenggalah, dirikanlah solat Isyraq (solat cahaya) 2 rakaat,
dan 2 rakaat solat Isti’adzah (solat memohon perlindungan dari kejahatan). Dalam rakaat pertama selepas fatihah, baca surah Al-Falaq. Dalam akaat kedua selepas fatihah, baca surah An-Nas.

Kemudian dirikan 2 rakaat solat Istikharah (solat memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah swt untuk membuat keputusan dengan betul). Dalam dua rakaat tersebut selepas fatihah bacalah Ayatul kursy (surah al-baqarah ayat 255).Selepas itu bacalah surah Al-Ikhlas sebanyak 7 kali, iaitu surah yang di mulai dengan ‘Qulhuwallahu ahad…’

Kemudian dirikan solat Dhuha (solat memohon ketenteraman jiwa dan keheningan fikiran) 8 rakaat. Selepas membaca fatihah, bacalah surah Asy-Syams dan surah Ad-Dhuha, sila lihat dalam quran.
Selepas itu dirikan 2 rakaat solat Kaffarah (solat menebus atau menghapus dosa serta kotoran dan najis yang menyentuh diri seseorang tanpa dapat di elakkan atau tanpa di sedari). Bersentuhan dengan kotoran dan najis, walaupun tidak sengaja, adalah suatu kesalahan dan orang yang bersalah perlu di hukum. Dalam setiap rakaat selepas fatihah, bacalah 7 kali surah Al-Kautsar.

Satu lagi solat yang perlu di dirikan dalam beruzlah atau berkhalwat ialah solat Tasbih. Mereka yang bermazhab Hanafi mendirikan solat ini 4 rakaat dengan satu salam. Mereka yang bermazhab shafie pula melakukannya dengan 4 rakaat dengan 2 salam. Peraturan ini ialah bagi solat Tasbih yang di dirikan di siang hari. Sekiranya di lakukan pada malam hari, solat Tasbih ini di dirikan 4 rakaat dengan 2 salam oleh kedua-dua mazhab tersebut.
Dalam setiap rakaat selepas fatihah, baca satu surah al-quran. Selepas itu, sebelum rukuk baca tasbih 15 kali: ‘ Subhaanallah walhamdulillah walaa ilaaha ilallah wallahu akhbar, walaa khawlawalaa quwwata illa billahil ngaliyyil ngazim’. Maksudnya: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung’.
Tatkala rukuk baca tasbih 10 kali lagi. Kemudian berdiri selepas rukuk dan tasbih 10 kali lagi. Kemudian sujud dan tasbih 10 kali. Duduk antara dua sujud baca tasbih 10 kali, setelah itu sujud lagi dan baca tasbih 10 kali. Kemudian duduk istirahah dan baca tasbih 10 kali. Kemudian bangun berdiri untuk rakaat kedua. Begitulah seterusnya di baca tasbih itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.
Jumlah tasbih setiap rakaat 75 tasbih. Ini bererti dalam empat rakaat itu, kita membaca tasbih sebanyak 300 kali. Jika sanggup buatlah solat tasbih ini setiap hari. Jika tidak sanggup buatlah setiap jumaat. Jika tidak sanggup juga buatlah sebulan sekali, Jika tidak sanggup buatlah sekali seumur hidup. Orang yang beruzlah hendaklah mendirikan solat tasbih ini, faedah dan pahalanya amat besar.

Orang yang dalam uzlah atau khalwat itu hendaklah membaca 200 ayat al-quran sekurang-kurangya setiap hari.

Zikir di baca terus menerus, sama ada membaca zikir yang berupa Asma’ Allah (nama-nama Allah yang indah) dengan suara yang kuat ataupun dengan senyap. Yakni di dalam hati. Zikir hati bermula hanya apabila hati telah sedar dan telah ‘hidup’. Bahasa dalam zikir hati ini ialah kata rahasia yang dalam dan tersembunyi. Setiap orang hendaklah ingat akan Allah dan menyebut nama-nama-Nya bersesuaian dengan keupayaan masing-masing.

Firman Allah:
‘’…….dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang di tunjukkan-Nya kepadamu.’
–surah Al-Baqarah ayat 198.

Dengan kata lain, ingatlah Allah menurut keupayaan masing-masing. Dalam setiap peringkat kerohanian (dalam suluk) zikir itu berbeza-beza. Masing-masing ada nama, ada cirri-ciri dan ada jalannya. Hanya orang yang berada dalam suatu peringkat itu saja yang tahu zikir yang pada peringkat mana ia berada.

Orang dalam beruzlah juga hendaklah membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 100 kali, selawat 100 kali.

Dan hendaklah juga membaca doa berikut 100 kali:

‘Astaghfirullahal ngazim, allazi laa ilaaha illa huwal hayyul qayyumurrohmaanurrahim wa a tubuu ilaih. Nga u zubika min syarri maa sona’tu wa a nguzubika min zanbi, faghfirli fainnahu laa yaghfiruzzunuba illa anta. Ta’lamu maa fi nafsi walaa nga’lamu maa fi nafsika. Innaka ngallamul ghuyub. Antal muqaddimu wa antal muakkhiru. Innaka ngala kulli syai’in qadir.

Maksudnya: Aku mohon ampun kepada-Mu, ya Allah! Yang Maha Agung, yang mana tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Hidup lagi Yang Berdiri Sendiri, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan aku bertaubat kepada-Nya. Aku berlindung dengan-Mu dari kejahatan yang telah aku lakukan dan aku berlindung dengan-Mu dari dosaku, maka ampunilah bagiku kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada DiriMu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Engkau yang mendahulukan dan Engkau juga yang mengakhirkan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu.

Selepas amal ibadat tersebut,
maka masa yang terluang hendaklah di isi dengan membaca Al-Quran, berwirid, berzikir dan sebagainya.

lagi baca pula artikel: Kaifiat Solat Tahajjud, Solat Hajat dan Solat Witir.
Enam darjat nafsu
Wirid selepas solat fardhu
kaedah bersuluk

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 156 other followers